Got this email from one of my colleague and believe me... it's worth reading!
Ramai yang mengeluh, bukan kecewa, tetapi sekadar
meluahkan rasa… betapa kebaikan dipersia. Isteri yang setia, dipersiakan suami.
Suami yang baik, ditinggalkan isteri. Ibu-bapa yang dipinggirkan anak-anak…
Inilah warna kehidupan yang kita perlu hadapi. Langit tidak selalu cerah. Hidup
tidak sentiasa indah. Dipergilirkan antara senang dan susah, agar di hati kita
ada sabar dan syukur. Umpama malam dan siang, barulah tercipta keharmonian,
keseimbangan…
Lalu di pagi Jumaat ini, saya tulis satu kisah lama… sekadar untuk mengingatkan
diri dan pembaca. Satu tulisan untuk membujuk hati sendiri atas satu
pertanyaan, orang ikhlas tertindas?
Atau soalan yang lebih “dalam” dan sukar daripada itu… benar-benarkah kita
orang yang ikhlas jika masih merasa tertindas ketika cuba mengikhlaskan hati
kita ketika melalukan kebaikan kepada sesorang atau sesuatu pihak?
Ah, ikhlas itu memang rahsia. Rahsia dalam rahsia Allah. Ya Allah, bantulah
kami untuk ikhlas…Amin.
Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun
yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini
mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan
program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.
"Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini," kata
seorang kakak berterus-terang.
"Mengapa?" balas saya.
"Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa
bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang
wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu
orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja."
Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh
tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti
program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan
kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya
untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh,
dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih
tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?
Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya,
"kakak punya berapa orang anak?"
Sengaja saya bertanya soal-soal 'di luar kotak' agar ketegangan dalam sesi
sebelumnya dapat diredakan.
"Oh ramai encik"
"Bagaimana dengan anak-anak kakak?"
Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya.
Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada
yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya
telah menjadi hafiz.
"Kakak, boleh saya bertanya?"
"Tanyalah encik" ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya
sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang,
semua anak-anaknya menjadi.
"Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang 'menjadi' dengan naik
gaji, mana yang kakak pilih?"
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, "antara kakak naik pangkat
dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?"
Dengan cepat kakak itu menjawab, "hati ibu encik tentulah saya pilih
anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak
adalah harta kita yang paling berharga!"
Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
"Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi
ini telah mendapat ganjaran" kata saya perlahan. Hampir berbisik.
"Maksud encik?"
"Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak
lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan
kepada kakak anak-anak yang menjadi."
"Tidak pernah saya terfikir begitu encik"
"Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri
dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give,
you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang
kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah."
"Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan
kebaikan itu?"
"Maksud kakak?"
"Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi
Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya
bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?"
"Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri.
Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan
dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!"
Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang
berlaku dalam organisasi dengan familinya.
"Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu
jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta
yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita.
Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu
memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita"
Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak
itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan
begitu teliti.
"Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau
setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong.
Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya
logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi
laluan untuk kita?"
Kakak itu tersenyum dan berkata, "tak logik encik. Kereta yang kita bantu
tadi entah ke mana perginya."
"Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk
kita?"
"Pasti ada! Insya-Allah."
"Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong.
Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada
kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan
kita Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa
kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi."
"Subhanallah!"
"Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan
manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas
kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah
hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini."
"Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?" tanya
kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.
"Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan
Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak
memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang
melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula
kepada pembalingnya!"
"Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat."
"Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah
Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia
lagi."
"Maksud encik?"
"Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup.
Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan
paling penting hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih
utama daripada pangkat, gaji dan jawatan."
"Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau
gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik
dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!"
Giliran saya pula tersenyum.
"Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah.
Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja pangkat yang mereka
dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati
menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back Golden rule
itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita
berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu,
mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas
dengan isteri yang berpura-pura!" terang saya panjang lebar.
"Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang
tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?"
"Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi
Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our ceo, kata orang
sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh
Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan
hanya kerana tidak dapat penghargaan"
"Maksud encik?"
"Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita
buat kepadanya."
"Kenapa?"
"Kita akan sakit jiwa!"
"Kenapa?"
Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada
Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih,
apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali
daripada manusia yang bersyukur, balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al
Quran.
"Tetapi Allah tidak berhenti memberi " kata kakak itu perlahan.
Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang
derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi Justeru siapa kita yang tergamak
berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima
kasih?
"Ah, kita terlalu ego"
Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar
impaknya dalam hidup saya. Saya terasa "diperingatkan" semasa memberi
peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan
hati oleh satu pertanyaan orang ikhlas tertindas?
No comments:
Post a Comment